Friday, December 5, 2008

Bingkisan Doa Buat Marini





Bingkisan Doa Buat Marini
Muhammad Zaki Amali Bin Basiron @ SU-K


“Kenapa dengan mat saleh ini nurse?.”
“Kena langgar dengan kereta.”
“Ok nurse, cepat bawak pesakit ini ke dalam.”
“Baiklah doktor, tapi pesakit ini siapa yang akan uruskan.”
“Saya sendiri yang akan uruskan. Cepat nurse!.” Ridhwan tidak letih dengan semua ini. Baginya, inilah tanggungjawab. Walaupun dia baharu sahaja tiba, dan belum sempat punch card lagi, dia menganggap kerjanya ini sebagai ibadat dan nyawa mesti diselamatkan.

“Malangnya aku tidak dapat selamatkan dia...” bisik hatinya kesal.Ridhwan mengambil nafas sambil duduk di atas kerusi di dalam bilik selepas dia punch card kehadirannya. Yang pasti bertanda merahlah punch cardnya hari itu. Pandangannya beralih seketika ke arah tepi meja. Dia melihat gambar kenangannya bersama-sama Marina. Gadis yang berbaju kurung merah dikenakan dengan tudung putih dan bertahi lalat di tepi bibir tersenyum kepadanya. Hati Ridhwan mula tersentuh apabila melihat wajahnya itu.
**************


“Rini, cepat sikit! Kenapa lama sangat kau bersiap! Sikit-sikit sudah lah.”
“Kejaplah kakak. Lagi seminit Rini turunlah,” jerit Marini yang kelam kabut memakai tudung sekolahnya itu.
“Dahlah kita belum breakfast lagi. Dah pukul berapa ni. Lambat pula nanti kita sampai ke sekolah . Kau nak cari pasal dengan Cikgu Joyah lagi?.” Marina merungut.
“Wahai kakakku yang cantik…. Ok.., Rini dah siap! Puas hati? Sabar lah sikit. Lagipun sekolah depan itu saja. Bukannya kat bulan. Sheikh Mudzhapar pun tak kelam kabut macam kakak. Dia sabar. Buat preparation betul-betul. Tak macam kakak. Semuanya nak cepat!”Walaupun Marina tegas, tapi dia berhati mulia. Dia nak cepat bukannya apa, cuma hidup sekarang ini, manusia kena bergerak pantas. Tapi, kenalah ingat, biar cepat asal selamat.
“Dahlah tu. Jangan nak membebel-bebel pulak kat sini. Jom kita pergi breakfast. Lapar tak?”
“Mestilah…Ok, jom.”Mereka terus berjalan menuju ke Cafe Teratak Bonda Nur Iman. Di situlah setiap hari mereka menatap rezeki Allah.

“Kak Rina, mana budak-budak lain? Tak nampak pun batang hidung mereka. Mereka tak pergi sekolah?,” Marini duduk di hadapan Marina. Terdapat hidangan pagi di atas meja bulat beralaskan kain berwarna kuning.Marini buat muka pelik sambil menyuapkan nasi goreng ke dalam mulutnya. Sedap betul nasi yang dibuat oleh Bonda. Suapan demi suapan dimasukkan ke dalam mulut cepat-cepat. Lagaknya macam tidak dikunyah nasi itu. Muka Cikgu Joyah terpampang di ruang matanya. Tangan mencekak pinggang menuding jari ke arah pelajar-pelajar yang datang lambat ke sekolah.
“Mereka semua dah pergi sekolah pun. Kita saja yang lambat,” gerutu Marina mengambil air teh panas lalu diminumnya.
“Alamak, dah pukul 7.30! Dahlah tu, jom pergi sekolah. Habislah kita Marini, mesti Cikgu Joyah naik angin!,” jerit Marina sambit menyambar begnya dengan pantas.
“Ok.,ok!! Jom kita pergi!,” sahut Marini. Kelam kabut Marina apabila melihat jam di tangannya. Kadang-kadang tersenyum dia seorang diri melihat jam tangannya itu. Itulah jam tangan yang diberikan ibunya sebelum meninggal dunia lapan tahun yang lalu.Tetap dipakainya dengan baik. Tidak pernah sekalipun jam itu rosak. Itulah hadiah yang paling berharga yang dia ada. Begitulah kemesraan dua orang adik beradik yang penuh dengan kasih sayang. Bagi mereka, walaupun ibu dan bapa telah pergi buat selama-lamanya, kehidupan mesti diteruskan. Belajar pun kena teruskan juga. Tanpa ilmu sesatlah manusia.

“Marina, Marini! Kenapa kamu lambat datang ke sekolah? Kamu tahu tak sudah pukul berapa sekarang ni?,” jerit seorang cikgu berkaca mata bulat di depan pintu kelas Tingkatan 4 Alpha. Bulat matanya menjeling tajam ke arah dua beradik tersebut.
“Pukul 7.40 pagi cikgu,” kata Marina sambil menundukkan kepalanya.
“Haaaa! Tahu pun!,” nyaring suara Cikgu Joyah menjerkah mereka. Rugi tak masuk Akademi Fantasia. “Minta maaf cikgu. Tadi saya bangun lambat. Itulah yang kami lambat datang ini,” jawab Marina pantas. Padahal Marini yang bangun lambat. Tapi, demi menyelamatkan keadaan, Marina berani bersuara.
“Aahhh! Alasan tu dah lapok.…Tak habis-habis,”
“Cikgu, saya bangun lambat tadi. Tak ada alasan lain?”“ Kejap, kamu ni siapa?,” Cikgu Joyah buat muka keliru.
“Saya, Marina. Ini Marini. Cikgu tak kenal lagi kami berdua.” senyum Marina. “Tak…, saya keliru saja,” Malu pula Cikgu Joyah. Sudah tiga tahun mengajar, tak kenal lagi mana satu Marina dan Marini. Mana tidaknya, Marina dan Marini itu kan kembar seiras! “Saya minta maaf cikgu. Kami janji, lain kali kami tak buat lagi,” jelas Marina dengan suara mendatar.
“Dah, masuk kelas! Tak payah nak bersandiwara kat sini pulak. Lain kali awak berdua datang lambat lagi, tengoklah nanti apa yang saya akan buat.”
“Cikgu ni tak habis-habis nak cari kesalahan orang lain. Dia masuk lambat ke kelas tak apa! Tak adil betul,” Marini berkata di dalam hatinya.
“Memang salah aku pun tadi, tak kejutkan Rini,” bisik hati kesal Marina lalu terus menarik tangan Marini masuk ke dalam kelas. Kebetulan mereka satu kelas, malahan duduk bersebelahan..
**************

Kkringgg….!!Loceng sekolah berbunyi berkali-kali. Jam menunjukkan pukul 2.00 petang. Semua pelajar berpusu-pusu keluar dari kelas. Tak sabar-sabar nak balik rumah.

“Kak, kita nak terus balik?,” Marini bertanya sambil membetulkan tudungnya.
“Habis tu, mana lagi kita nak pergi?. Kita terus saja balik. Nanti risau pulak Bonda,
”Mereka berdua berjalan kaki menuju ke pintu gerbang yang tersergam indah. Terpampang papan tanda Selamat Datang ke Rumah Anak-Anak Yatim Nur Iman Taiping Hampir 50 orang anak-anak yatim menetap di situ. Rumah itu tersergam indah ditambah dengan halaman yang diserikan dengan bunga-bungaan. Mereka berdua sudah tinggal di sini sejak berusia lima tahun lagi. Terutama ketika kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat terkorban dalam tragedi kebakaran yang berlaku di rumah mereka sendiri. Mereka tiada di rumah kerana bersekolah. Apa-apa pun, semuanya adalah ketentuan Yang Maha Esa.
“Hai Bonda!,” sapa Marina sambil menepuk bahu Bonda dari belakang yang sibuk membersihkan pasu bunga.
“Haa..Rina, Rini…Dah balik pun. Macam hari ni sekolah? Ok tak?” tanya Bonda sambil senyum menyapa anak-anaknya pulang.
“Ok saja Bonda. Cuma pagi tadi Cikgu Joyah naik angin lagi,” Marini bersuara macam tak puas hati.
“Dahlah tu…Naiklah, lepas ini terus makan. Petang nanti Bonda nak bawa kamu menziarahi kubur mak dan ayah kamu,” jelas Bonda sambil tersenyum. Sesekali Bonda akan membawa anak jagaannya untuk menziarahi pusara arwah ibu bapa mereka. Kali ini, tiba giliran Marina dan Marini. Kali terakhir mereka menziarahi pusara ayah dan ibu mereka ialah tiga bulan yang lalu. Tak sabar rasanya untuk bertemu ayah dan ibu. Rindu hati mereka mula terusik.

“Kak, kakak tak rindukan mak dan abah?,” Tanya Marini sambil meletakkan begnya di atas katil. “Anak mana yang tak sayangkan mak dan abah. Kakak pun rindukan mereka,” Marina membuka tudung sekolahnya dan duduk bersebelahan Marini.
“Rini rindukan mereka, kak. Rini teringin sangat nak cium mereka.” Marini terus mengambil gambar mak dan ayahnya di sebelah katilnya. Ditatap dan dipeluk erat-erat gambar tersebut. Titisan air mata mula membasihi pipinya.
“Rini, sudahlah tu, apa yang boleh kita buat. Semuanya telah ditakdirkan. Lagipun, Allah lebih sayangkan mereka, sabarlah Rini,” Marina cuba menahan sebak.
“Tapi kak, kenapa Tuhan terlalu cepat mengambil mak abah daripada kita? Mengapa Tuhan tidak beri peluang kepada kita untuk merasai kasih sayang. Kenapa kak? Kenapa?,” bersungguh-sungguh Marini menyoal Marina.

“Rini, kan kakak dah cakap tadi…Ini semua adalah kehendak Allah. Dia yang berkuasa menentukan segala-galanya. Terimalah hakikat yang mak abah dah pergi. Apa yang mampu kita buat, berdoa supaya mak dan abah selamat dan sejahtera di sana.”
“Tapi kak, Rini terlalu rindukan mereka.” “Rini, ingat tak. Mak pernah berpesan jikalau mereka sudah tiada, kita kenalah hidup berdikari. Jangan selalu menangis. Kalau ada masalah, mengadulah padaNya. Tentu Allah akan menolong kita. Selalulah ingat Allah!” Manusia adalah milik Allah. Semua yang kita miliki bukanlah hak mutlak kita untuk selama-lamanya. Kehidupan yang sementara ini merupakan jambatan dan tempat persinggahan untuk kita mencari bekalan bagi menghadapi kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Marina memahami apa yang berlaku dan mengharap agar hal yang sama dapat dirasai oleh adik kesayangannya itu. Marina bertekad untuk menjaga Marini dengan sebaik-baiknya. Seperti apa yang telah diwasiatkan oleh ibu dan bapanya.
“Rina, abah nak Rina jagalah Rini baik-baik.”
“InsyaAllah bah, Rina akan ingat apa yang abah katakan ini.”
“Rina, satu lagi yang abah nak pesan. Selalulah ajar Rini agar dekati Allah. Jangan biarkan dia hanyut. Belajarlah rajin-rajin. Abah percaya, Rina boleh lakukan semua ini”
“Mak pun sama Rina. Mak dan abah dah tua. Hanya tunggu masa sahaja. Kalau kami dah tiada, Rinalah tempat Rini mengadu kasih. Ingat tu Rina…” Walaupun mereka kembar, mempunyai usia yang sama, namun disebabkan Marina yang lahir dahulu, dia merasakan dialah payung kepada Marini.

**************

“Mana Marini ni? Kata nak study Bio sama-sama,” Marina mundar mandir sambil melihat jam.
“Kejap, hari ini hari apa? Hari sabtulah.…lupa pula, kan hari ini Marini ada kelas muzik,” Marina bercakap seorang diri. Memang dari kecil Marini sangat meminati muzik. Katanya, muziklah penawar dukanya. Bila bosan, muziklah temannya. Bila dewasa nanti, dia mahu menjadi seorang penyanyi. Marini pernah menyertai School Idol di sekolah. Tak sangka dia mendapat tempat pertama.

“Alah, ada apa sangat dengan muzik tu? Bosan!,” Marina berceloteh sendirian sambil mengambil buku teks Biologi. Marina membuka kembali tajuk yang telah dipelajarinya di sekolah pagi tadi. Cikgu pesan, kalau nak senang ingat, study balik apa-apa yang kita dah belajar kat sekolah. Walaupun mereka kembar seiras, inilah yang membezakan mereka. Kata orang, rambut sama hitam, hati lain-lain. Marina tidak meminati bidang muzik. Tambahan, muziklah subjek yang paling dibencinya sewaktu sekolah rendah dahulu.
“Nampaknya, aku study seoranglah hari ni,” rungut Marina seorang diri yang katanya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. “Tak mengapa.. Dia tiada lagi senang. Kalau tidak, asyik memekak saja,” kata Marina yang tekun highlight nota-nota penting dibukunya. Selepas penat study, Marina berhenti seketika. Dia memandang ke arah tingkap sambil melihat keindahan Bukit Larut, salah sebuah kawasan tanah tinggi yang popular di Bandar Taiping. Dia cuba memikirkan perkara yang akan terjadi kepada mereka apabila dewasa kelak. Apalah yang berlaku nanti. Adakah mereka akan berjaya menemui kejayaan atau kegagalan yang menjadi teman. Adakah cita-cita yang diburu menjadi kenyataan atau sekadar mimpi di siang hari semata-mata. Persoalan yang menjadi tanda tanya. Tiada siapa yang mampu merungkai persoalan ini. Biarlah masa yang menentukannya. Hati Marina berbisik dari dalam.

“Assalammualaikum, Marina,” tercegat seorang lelaki kurus sedang memapah seorang perempuan.
“Waalaikummussalam. Ya Allah, apa dah jadi, Wan?” Highlighternya terlepas dari tangan. Marina cepat-cepat mendapatkan Marini.
“Tak tahulah Marina. Tiba-tiba tadi Marini jatuh pengsan. Wan nampak, jadi Wan bawah dia pulang,” jelas Ridhwan tercungap-cungap selepas penat memapah Marini. Budak itu Ridhwan namanya. Remaja yang bersahabat baik dengan Marina dan Marini di Rumah Nur Iman. Ridhwan juga senasib dengan mereka, anak yatim piatu.
“Badan dia panas ni, Wan,” tangan Marina terasa panas selepas memegang Marini.
“Bonda…Bonda, cepat Bonda. Marini demam panas!,” Marina jerit memanggil Bonda. Dia menggelabah macam cacing kepanasan. Pantang melihat Marini sakit.
“Baiklah, kita bawa Marini ke klinik.” Bonda datang memberi sokongan. Ridhwan hanya memandang wajah Marina. Terkedu sebentar. Wajah Marina sangat cantik. Macam Siti Nurhaliza. Kini, sudah dua hari Marini terbaring di atas katilnya. Demam panasnya masih belum reda.

“Kak, Rini sejuk kak.” Marini menarik selimut sambil tangannya terketar-ketar.
“Sabarlah dik. Kakak ada di sini.” Marina berkata sambil menyapu sehelai kain lembab di atas dahi Marini.
“Kak tak pergi sekolah ke hari ni?” Marini bertanya kehairanan.
“Tak. Kakak risau dengan Rini. Tak mengapalah, biar kakak temankan Rini.”jawab Marina dengan sayu. Demi Marini, Marina sanggup ponteng sekolah. Marina tidak sampai hati hendak tinggalkan Marini seorang diri. Itulah kasihnya seorang kakak.

**************

“Saya bantah Yang Arif!,” Marina bersuara dengan lantang.
“Bantahan diterima.” Serius wajah Datuk Fahmi, hakim yang mengadili perbicaraan kes penceraian Datuk Kamaruzaman dengan bekas isterinya, Datin Sara. Sudah seminggu mereka membicarakan kes ini tetapi tiada kesudahannya.
“Saya bantah lagi Yang Arif,” Marina bangun membantah hujah peguam Datuk Kamaruzzam yang cuba mengelirukan Datin Sara dengan soalan-soalan yang berbelit-belit. Marina tidak berpuas hati.
“Bantahan di tolak.” Dengan selamba, Marina yang tinggi lampai dan bertudung itu duduk. Kini, tiba giliran Marina. Dia bangun sambil membutangkan jubah hitamnya itu.
“Terima kasih Yang Arif. Yang Arif, nampaknya terdapat penipuan yang cuba dilakukan oleh pihak Datuk Kamaruzaman.” Itulah Marina, seorang peguam syariah. Dia tidak kekok untuk bersuara di khalayak ramai. Berusaha untuk mempertahankan anak guamnya. “Rini, kenapa dengan kau ni, semacam saja aku tengok,” tanya Siti, rakan artis Marini, pelik melihat keadaan Marini yang ke hulu hilir tidak henti-henti.
“Aku pelik, atau kau yang pelik? Kau tahu tak, kejap lagi turn aku buat show. Takutlah!”
“Nak takut apanya. Ini bukannya kali pertama kau buat persembahan,” kata Siti. “Memanglah. Tapi, kali ini aku tengok orang ramai sangat. Rasa gugup pulak. Silap-silap, aku lupa lirik pulak nanti,” jelas Marini meluahkan kegelisahannya. Inilah pula Marini. Tidak kurang seperti kakaknya, Marini kini bergelar penyanyi di bawah syarikat rakaman Senyum Entertainment Sdn.Bhd. Dua Belas tahun berlalu dengan pantas. Peredaran masa berlaku bagaikan sekelip mata sahaja. Kini, manusia mengecapi zaman era globalisasi, dunia tanpa sempadan. Marina dan Marini pula terasa baru semalam saja mereka keluar meninggalkan Rumah Nur Iman. Mereka telah pun berusia 26 tahun, umur yang cukup memadai untuk mereka berfikiran matang, mengenali apa sebenarnya erti kehidupan.Umur yang cukup memadai untuk mereka hidup di atas kaki sendiri dan tidak mengharapkan bantuan orang lain.
“Rini, macam mana dengan show hari ini?,” Marina cuba berbual dengan Marini di ruang tamu kondominium mereka sambil menonton televisyen.
“Ok kak. Tapi waktu nak buat persembahan tadi, takutlah pula. Mana tidaknya, tadi ramai sangat orang. Nasib baik tak lupa lirik.”
“Biasalah itu, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Nak jadi artis kena hadapi semua tu. Sabarlah adik,” pujuk Marina yang cuba memberi semangat kepada Marini.
“Kakak pulak macam mana? Dah selesai dengan kes Datuk Kamaruzaman tu,” tanya Marini sambil membawa segelas air untuk kakaknya.
“Tak habis lagi. Minggu depan pula sambung. Kakak pun pening sekarang ini. Tak tahu bila kes itu nak selesai.” Jelas Marina tanpa berpaling daripada melihat tv.
“Datin Sara macam mana, ok tak?” tanya Marini ingin tahu.
“Dia itu ok. Tapi, beria-ia nak menang. Padahal dia yang minta cerai,” rungut Marina. Kerjaya sebagai peguam memang mencabar. Memerlukan ketajaman berfikir untuk menyelesaikan masalah. Memerlukan kepetahan bercakap, kebijaksanaan menangkis pihak lawan dan kesabaran menuruti kehendak anak guam.
“Rini, esok kakak nak melawat Bonda. Dah lama kita tak melawat dia. Nak ikut tak?”
“Esok?!!!” “Maaflah kak. Esok saya ada hal. Nak jumpa kawan,” jawab Marini cuba memberi alasan.
“Kalau macam itu, tak pela. Kakak pergi seorang saja,” kata Marina.

**************

“Assalammualakum Bonda,”
“Waalaikummussalam…Ya Allah!Rina. Apa khabar, nak? Seorang saja? Mana Rini?” Tanya Bonda kehairanan dengan kedatangan Marina.
“Dia tak dapat datang. Katanya, ada hal dengan kawan. Bonda sihat?.” “Bonda macam inilah. Sihat cara orang tua. Kenapa Rina datang ke sini?.”
“Saja nak melawat Bonda. Takkan tak boleh? Kan dah lama kita tak jumpa?” jawab Marini sambil tersenyum.
“Boleh.. Cuma kalau nak datang tu bagi tahulah awal-awal. Boleh Bonda sediakan apa-apa yang patut.”
“Tak payahlah susah-susah Bonda. Rina datang pun sebab rindu sangat dengan Bonda. Bonda… ini ada check RM 20000. Ambillah. Ikhlas daripada saya,”
“Apa ni, Rina?. Banyak ni.” Bonda seperti tidak dapat menerimanya.
“Ambillah Bonda. Bonda dah macam mak kandung saya. Saya cuma nak ringankan beban Bonda. Lagipun duit ini boleh Bonda guna untuk belanja adik-adik di sini. Mereka sangat memerlukan wang ini.” Marina meyakinkan Bonda.
“Terima kasih banyak-banyak Rina,” kata Bonda yang kini berambut putih. Hari berlalu demi hari. Marini masih dengan kerjayanya sebagai penyanyi. Kadang-kadang tidak pulang ke rumah selama beberapa hari. Katanya, ada showlah, outstationlah, macam-macam alasan. Tatkala, Marina sedang sibuk menguruskan kes penceraian Datuk Kamaruzaman, rakan-rakan seperjabatnya sibuk membincangkan hal adiknya, Marini.

“Eh, Nur, kau ada dengar tak cerita pasal Marini, penyanyi yang agak top itu. Ala adik Marina,” perlahan suara Tijah bercakap dengan Nur.
“Cerita apa?” “Aku dengar Marini itu sekarang tengah hangat bercinta dengan Alex, penyanyi dari Amerika itu. Asyik berkepit ke hulu hilir. Tak tahu malu! Dahlah budak itu mat saleh, Marini pula Islam, mana sesuai!,” kuat suara Tijah bersembang. Marina hanya pasang telinga,
“Manalah mereka semua dapat cerita karut ini. Takkanlah Marini sanggup buat macam ini?,” sedetik bersuara di hati Marina.
“Marini, tunggu dulu. Kakak ada benda nak cakap dengan kamu,” Marina menahan adiknya daripada masuk ke dalam bilik. Sudah seminggu tidak pulang. Inilah peluang Marina berterus terang dengan adiknya.
“Ada apa kakak. Cepatlah, saya letih ini. Nak berehat!,” ujar Marini yang berambut lurus.
“Kawan-kawan kakak sibuk bercakap yang kamu sedang bercinta dengan Alex, betul atau tidak?” “Kakak, janganlah percaya sangat dengan mereka itu. Lagipun ini gosip sahaja!”
“Baik kamu cakap betul-betul dengan kakak!”
“Ok. Kalau kakak nak tahu sangat. Ya! memang betul, apa salahnya saya bercinta dengan dia. Dan buat pengetahuan kakak, saya akan berkahwin dengan dia,” lantang Marini bersuara.

“Marini kamu sedar atau tidak apa yang kamu telah lakukan ini? Sejak bila kamu jadi macam ini? Kamu itu orang Islam, Alex pula beragama Kristian! Kamu berdua tidak boleh berkahwin!,” Marina bersuara.
“Suka hati sayalah. Saya berhak nak berkahwin dengan sesiapa pun. Apa hak kakak?,” marah Marini terus masuk ke dalam biliknya lalu menghempaskan pintu bilik.
“Apalah yang telah terjadi kepada Marini? Adakah dia sudah berubah? Sudah lupakah dia kepada Allah? Dengan sekelip mata sahaja, Marini bakal merosakkan hidupnya sendiri. Aku tidak mengerti! Adakah aku gagal untuk membimbingnya?” Marina tertuduk di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Dia dalam kebingunan. Lalu, dia terpandang pada gambar ibu dan ayahnya, yang kini mungkin kecewa terhadap apa yang telah berlaku terhadap Marini. Marina menangis keseorangan.

Keesokan harinya. Jam menunjukkan pukul 7.15 pagi. Sepatutnya, Marini sudah pun bangun daripada tidur.
“Rini, dah siap atau belum? Marilah breakfast sama-sama. Marini…!,” Marina bersuara memanggil Marini sambil menyiapkan makanan. Namun, Marini tidak menyahut. Lalu, Marina pergi ke bilik Marini.
“Marini, dah siap atau belum?,” Marina cuba memanggil sekali lagi. Marina buka pintu bilik Marini. Pintunya tidak berkunci. Marini tiada di dalam bilik. Tiba-tiba, Marina terpandang sekeping surat yang terletak di atas meja.
“Buat kakakku, Marina…Sebelum itu, Marini minta maaf banyak-banyak daripada kakak atas apa yang berlaku semalam. Kakak, Marini tetap dengan pendirian Marini. Marini akan berkahwin juga dengan Alex. Sudah lama kami merancang. Kakak janganlah halang hasrat kami berdua. Selamat tinggal kakak…”.
Setelah membaca surat tersebut, Marina terasa dunia semakin gelap. Tiba-tiba, Marina jatuh pengsan sehingga tidak sedarkan diri. Selepas itu, apabila tersedar daripada pengsan, Marina mendapati dia terlantar di atas katil.
“Di mana aku sekarang?. Mana Rini? Rini, jangan tinggalkan kakak…!”
“Sabar Rina,” suara seorang lelaki yang sedang duduk di sebelah Marina.Marina tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki tersebut. Namun, digagahinya untuk membuka mata. “Jangan risau Rina. Abang ada sini temankan Rina.”
“Macam mana Rina boleh ada di sini, bang?” perlahan suara Marina. Wajahnya pucat dan lesu. “Semalam abang pergi rumah Rina. Abang panggil, tapi tiada yang menyahut. Jadi abang masuklah. Then, abang ternampak Marina terbaring atas lantai. Terus abang bawa Marina ke hospital.”jelas Ridhwan yang kini bergelar seorang doktor. Mereka berdua telah pun bertunang hampir tiga bulan yang lalu. Malahan, mereka juga merancang untuk berkahwin pada bulan depan.
“Aduhhh…sakitnya kepala Rina,Terasa seperti nak pecah.”
“Sabar Rina…Nah, makan ubat ni. Nanti kurang la sikit sakit kepala itu.” Jelas Ridhwan cuba menenangkan Marina.Marina mengambil ubat tersebut lalu dimakannya. Ridhwan pula menghulurkan segelas air. Kelihatan dia ingin bersuara tetapi seperti serba salah untuk bercakap.
“Rina, abang harap Rina bersabar dengan apa yang abang akan cakapkan ini. Abang pun tidak dapat menerima apa yang telah berlaku kepada Rina. Sebenarnya, setelah diperiksa, didapati Rina menghidapi barah otak.” Marina kaku. Tidak berkata apa-apa. Semangatnya tiba-tiba lenyap. Marina tidak mahu berdepan kenyataan bahawa barah otak menjadi racun dalam dirinya. Tatkala mengenangkan nasib adiknya, Marina sabar dengan apa yang terjadi. Di saat ini, kehidupannya semakin rumit. Terbayang difikiran Marina akan adiknya. Marini alpa dengan kebahagian hidup di dunia. Dia telah lupa segala-galanya. Agama diketepikannya. Solat entah ke mana. Dia tidak terfikir langsung dengan apa yang dinasihati oleh mak ayahnya.
“Janganlah lupakan Allah”… Dia juga lupa terhadap Marina. Malahan tidak sedar bahawa Marina sedang bertarung nyawa untuk hidup. Tiba-tiba, telefon Marini berdering. Pantas Marini mengangkatnya.
“Hello, siapa ini?,” Marini bertanya.
“Assalammualaikum Marini. Wan bercakap di sini,” perlahan suara doktor itu.
“Ada apa Wan call saya ni? Jangan nak buang masa Rini!” marah Marini.
“Wan cuma nak beritahu Marini bahawa Marina sedang sakit. Dia ada di hospital sekarang. Rina menghidapi barah otak. Kalau senang, datanglah melawat dia. Dia amat memerlukan Rini.”
“Sudahlah, jangan pula Wan nak bersandiwara. Ini semua alasan Rina, kan? Sudahlah, Wan. Rini tidak mahu dengar apa-apa lagi!” jerit Rini dan kemudian, talian terus dimatikan. Di hospital, Marina semakin tenat. Sudah seminggu Marina tidak dapat bangun dari katilnya. Tunangnya kebingunan. Dia mendapati penyakit Marina tidaklah seteruk itu tetapi mengapakah keadaan kesihatannya semakin merosot.

**************

Di saat menanggung kesakitan, Marina masih teringat akan Marini. Apa yang dapat dilakukan oleh Marina, hanyalah berdoa kepada Allah. Itulah senjata utama seorang muslim sepertinya.

“Ya Allah, sesungguhnya aku ini hanyalah hamba yang lemah, tidak berdaya menentang kekuasaanMu.. Kupohon pada-Mu Allah… Engkau kurniakanlah taufik dan hidayah kepada adikku, Marini agar dia kembali ke pangkal jalan..Janganlah bairkan dia tunduk dengan kejahilan dunai.. Engkau peliharalah dia…..Aku mengharapkan pertolongan-Mu ya Allah”.
“Abang, kalau Rina sudah tiada, Rina berharap agar abang dapat cari Rini dan nasihatkan dia supaya kembali ke pangkal jalan”
“Jangan berkata begitu, sayang. Rina…Rina… akan sembuh! Abang.. Abang… ada di sini, sayang! Abang akan rawat Rina sebaik-baiknya. Abang akan carikan ubat yang terbaik. Abang sudah aturkan pembedahan itu esok. Bersabarlah sayang!” Pujuk Ridhwan pilu. Butiran air mata tiba-tiba menitis mengenai pipi Rina.
“Jangan menangis, bang. Terimalah dengan reda. Kalau Rina sudah terima ketentuan ini dengan reda, abang mesti terima juga. Abang kena berjanji dengan Rina yang abang akan jaga Rini dengan baik. Abang, Rina rindu sangat dengan Rini. Oh, Rini adikku! Rina rindu sangat dengankau Rini. Abang janji ya, bang.”
“Sabarlah sayang! Rini pasti akan datang. Tidak sampai hatinya untuk memberitahu bahawa Rini sememangnya tidak akan datang menjenguk kakaknya itu. Dia tidak tahu mengapa Rini tidak mahu datang walaupun sudah diberitahunya berkali-kali tetapi Rini tetap mengatakan bahawa itu semua alasan Rina yang ingin menghalang hubungannya dengan Alex. Ridhwan tidak dapat menahan kepiluan hatinya.
“Abang, Rina letihlah. Rina rasa nak tidur.” Marina memejamkan matanya. Ridhwan masih di sisi Marina. Tidak berganjak. Diusap-usapnya ubun-ubun Marina. Direnungnya tepat-tepat. Dia dapat rasakan penderitaan dan rindu yang ditanggung oleh Marina. Digenggamnya erat-erat tangan Marina. Namun, genggamannya itu sudah tidak berbalas.“Rina, jangan tinggalkan abang, sayang! Rina….”

**************

Itulah wajah Marina yang amat disayanginya. Wanita yang sangat dicintainya. Baginya, pemergian Marina tidak dapat diganti.Kalau diberikan peluang, akan digantikan nyawanya untuk mengembalikan Marina. Namun, Ridhwan pasrah. Dia hanyalah hanyalah doktor biasa, tiada kuasa untuk menyelamatkan nyawa yang nyata milik-Nya. Marina pergi meninggalkannya sebelum dia bergelar suami. Mungkin dialah seorang lelaki yang paling rugi di dunia ini kerana kehilangan seorang wanita yang cukup hebat. Ketabahan, kesabaran, keikhlasan dan kasih sayangnya, tidak ada pada wanita lain. Kata orang, yang patah akan tumbuh kembali, namun yang tumbuh itu bukanlah sama seperti yang telah patah. Bunga bukannya sekuntum, namun yang sekuntum itulah madu di hati. Sejak di Rumah Nur Imam lagi, Ridhwan mengimpikan Marina menjadi teman hidup buat selama-lamanya. Hasratnya hanyalah sampai di pertengahan jalan. Sesungguhnya, Marina terabdi sebagai bidadari terindah dalam mimpinya…. Yang pasti Ridhwan berjanji akan sentiasa menyayangi Marina. Menyayanginya seumur hidup.“Kenapalah kau pergi terlalu cepat Rina. Belum sempat abang nak hidup bersamamu.” Hati Ridhwan berbisik.

Tok! Tok! Tok!Bunyi ketukan pintu menyentak lamunan Ridhwan.
”Masuk!”
”Doktor, ada waris mat saleh tadi nak berjumpa dengan doktor,”
“Suruh dia masuk.”
“Assalammualaikum,” suara lembut seorang wanita di pintu bilik Ridhwan.
“Waalaikumussalam.”
”Wan?”
”Rini?”

No comments: