Monday, December 8, 2008

Qistina



QISTINA

Amirah Azhar


Qistina tersenyum puas. Penat lelahnya selama dua tahun bergelar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nilam Tiga berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai salah seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia peringkat kebangsaan. Berada sebaris bersama-sama rakan seperjuangannya membuatkan dia teringat kembali nostalgia lama yang mengusik sanubarinya.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
“ Ala papa … tak adalah teruk sangat Qis dapat 4A 4B dalam PMR. Kawan-kawan Qis ada yang lagi teruk daripada Qis tau, tapi mak bapak dia orang relax je. Papa tau tak, kawan-kawan Qis semuanya tak nak masuk asrama… Diorang kata asrama tu macam penjara , ” Qis mengerutkan keningnya sambil membayangkan keadaan di asrama.
“ Papa tak peduli. Papa nak masukkan juga Qis dekat sekolah asrama tu. Biar Qis tau berdikari. Selama ni papa selalu ikut segala kemahuan Qis, tapi Qis buat papa macam ni. Anak-anak kawan papa semuanya dapat 8A. Mana papa nak buka letak muka papa ni? ”
“ Ish..papa ni… Mama, tengoklah papa tu. Sikit pun tak boleh tolak ansur , ” Qistina cuba pula memancing simpati mamanya.
“ Qis , dengarlah nasihat papa. Ada baiknya Qis pergi sekolah tu. Dengar cakap papa dengan mama ye sayang ? ” pujuk Datin Rafeah.
Mendengar penjelasan mama yang lebih berpihak kepada papanya, Qistina terus berlari naik ke biliknya lalu menghempas pintu sekuat hati.
“ Itulah awak. Manjakan sangat anak tu. Sekarang cakap kita pun dia tak nak dengar , ” rungut Datuk Sukor kepada isterinya sambil melepaskan keluhan kesal.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Qistina , Datuk Sukor , dan Datin Rafeah memasuki Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Nilam Tiga yang sarat dengan ibu bapa serta para pelajar yang ingin mendaftar.
“ Awak Qistina binti Datuk Sukor ya? ” kata guru di bahagian pendaftaran itu sambil matanya ligat mencari nama Qistina di lembaran yang berisi maklumat pelajar. “ Hah, dah jumpa pun. Awak akan ditempatkan di Dorm Sarjana Lima. Kelas awak di Tingkatan 4 Arif. Selamat datang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Nilam Tiga, ” ujar cikgu itu sambil tersenyum manis.
Qistina hanya tersenyum hambar. Tiada langsung riak kegembiraan yang terpancar di wajahnya yang mulus itu. Setelah selesai sesi pendaftaran dan ucapan Pengetua , mereka pergi ke dorm Qistina untuk mengemas barang.
Hampir sahaja Qistina pengsan kerana dorm yang akan didiaminya hanya dipenuhi dengan katil dua tingkat. Kemudahan yang disediakan hanyalah locker dan meja belajar. Semua ini cukup berbeza dengan keadaan bilik tidurnya yang serba mewah sesuai dengan dirinya sebagai anak tunggal seorang Datuk. Tidak ada lagi katil yang selesa, televisyen, pendingin hawa, dan komputer riba. “ Aduh! ” keluh Qistina di dalam hati.
“ Papa nak balik dah ni. Jangan lupa solat….” Melihat tiada perbezaan di wajah anaknya itu, Datuk Sukor menundukkan sedikit dirinya sambil memegang kedua-dua bahu Qistina.
“ Qis, papa buat semua ni untuk kebaikan Qis sendiri. Qis belajarlah sungguh-sungguh. Dapatkan 10 1A dalam SPM. Papa percaya Qis boleh lakukannya. Qis kan anak papa. ”
Datin Rafeah tidak mampu berkata apa-apa. Sebenarnya dia sendiri tidak sanggup untuk berpisah dengan anak yang ditatang bagai minyak yang penuh sejak kecil. Qistinalah satu-satunya anak yang masih ada setelah dia disahkan mengalami barah rahim dan tidak boleh mengandung lagi.
Datin Rafeah memeluk anaknya dengan erat. Melihat air mata mamanya, hati Qistina diruntun pilu. Dia membalas pelukan mamanya sambil air matanya deras mengalir di pipinya yang gebu itu.
Qistina hanya menyalami tangan papanya tanpa berkata apa-apa kerana masih terkilan dengan keputusan drastik papanya.
Setelah papa dan mama pergi, Qistina buntu. Dia tidak tahu arah yang hendak dituju. Dia hanya mengenali rakan sedormnya ala kadar. Qistina tertekan apabila mendapat tahu dia harus menapak jauh ke dewan makan jika hendak mengisi perut. Lebih parah lagi dia perlu beratur hanya untuk mandi. Peraturan asrama yang terlalu ketat menyusahkan dirinya yang selama ini bebas bagai rerama di angkasa.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
“ Kita orang nak kamu semua jaga belon ni baik-baik. Jangan sampai pecah. Ini amanah, faham? Sesiapa yang tak dapat jaga benda semudah ini akan dihukum! Ada apa-apa bantahan? ” kata seorang pelajar senior dengan mata yang membulat.
Suasana sunyi sepi. Semua junior menikus. Tiada siapa yang berani bersuara.
“ Gila! Macam mana nak jaga belon ni selama seminggu?! ” rungut Qistina sambil merenung belon berisi air di tangannya itu. Lebih-lebih lagi Qistina memang tidak tahu untuk menjaga barang sebaik mungkin. Hatta barangnya sendiri pun selalu ‘musnah’ di tangannya.
Seminggu selepas itu, hanya dua orang sahaja yang berjaya mengembalikan belon berisi air itu kepada pelajar senior. Yang lain, tidak tahu apa yang telah terjadi dengan amanah mereka. Oleh itu, mereka telah didenda untuk basuh tandas selama tiga hari.
Qistina sudah tidak tahan dengan kehidupannya di asrama. Sudahlah masuk pun dipaksa, ditambah lagi dengan karenah senior yang menyakitkan hati. Hati Qistina terbakar.
Qistina berjalan pantas ke pondok telefon. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk menelefon papanya. Kerana tindakannya yang terburu-buru, dia terlanggar seorang pelajar perempuan.
“ Maaf’ saya tidak sengaja, ” kata pelajar itu sambil menundukkan wajah.
“ Awak ni buta ke apa?! Lain kali bukalah mata tu luas-luas sikit!” herdik Qistina.
Pelajar itu tidak berani untuk memandang Qistina yang sedang menyinga lalu terus pergi.
“ Hello papa..Qis ni. Papa, Qis tak suka la duduk sini. Qis rasa terkurung sangat. Dahlah kena buli dengan senior, peraturan pun ketat sangat. Qis tak nak duduk sini. Tak nak…” rengek Qistina.
“ Qis..sabar sajalah..tu baru sikit..Kan sabar tu separuh daripada iman? ”
“ Ala,papa ni.Sejak bila papa dah tak nak dengar cakap Qis lagi?Qis bosanlah macam ni. ”
“ Qis…Qis… ” Datuk Sukor memanggil. Tapi Qistina telah pun menghempaskan gagang telefon.
Datuk Sukor hanya menggeleng memikirkan perangai Qistina. Beliau hanya mampu mengirim doa dari jauh.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


Sebulan berlalu.Qistina mula menghisap rokok dan ponteng sekolah. Selalu sahaja dia memberi alasan sakit perut, senggugut dan berbagai-bagai lagi kerana enggan belajar. Dia lebih sanggup tidur di bilik sakit atau nama popularnya sick bay. Semua ini gara-gara dia terpengaruh dengan rakan-rakannya yang tidak bermoral. Dia juga selalu meninggalkan solat dan aktiviti kerohanian di asrama. Bagaimanapun , Qistina bijak menyembunyikan rahsianya dengan selalu ke sekolah semasa cuti dan berlagak baik di dorm.
Sesungguhnya Allah Maha Besar. Dengan kuasa Allah, dia dan rakan-rakannya telah diserbu ketika merokok dan melakukan vandalisme di bumbung blok pekerja yang sudah separuh kosong itu pada suatu malam. Hanya tingkat bawah sahaja yang didiami para pekerja yang juga merupakan kakitangan sekolah. Ketika hendak melarikan diri, dia tersadung di batang paip. Dia menjerit meminta tolong rakannya tapi harapkan pagar, pagar makan padi. Dia ditinggalkan keseorangan.
Merah padam mukanya apabila disuluh oleh beberapa orang ustaz yang bertugas pada malam itu. Terasa hendak sahaja dia membunuh diri pada waktu itu. Di asrama, diarahkan untuk duduk di bilik penyelia asrama sambil warden menelefon papanya.Qistina tidak sanggup untuk melukakan hati papa dan mamanya untuk kali kedua. Dia melutut dan merayu pada warden tetapi tidak diendahkan. Qistina meraung di dalam hati. Dia sedar nasi sudah menjadi bubur.
Satu jam setengah selepas itu warden dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pihak polis. Melihat perubahan di wajah Cikgu Roziah, Qistina mula berasa tidak sedap hati. Selepas meletakkan gagang telefon, Cikgu Roziah berasa gusar untuk mengkhabarkan berita yang baru diterimanya kepadanya Qistina.
“ Qis, cikgu harap Qis banyak bersabar ya. Ibu bapa Qis kemalangan dalam perjalanan ke mari. Ibu Qis, Alhamdulillah tak ada apa-apa.Cuma cedera ringan je. Tapi..” Cikgu Roziah tidak mampu meneruskan kata-katanya.
“ Macam mana dengan papa saya cikgu? Dia okey kan? ” ujar Qistina tidak sabar walaupun hatinya mula berprasangka buruk.
“ Tuhan lebih menyayanginya, Qistina. Ayah kamu dah kembali ke Rahmatullah.”
Mendengar penjelasan cikgunya , Qistina terus pengsan.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
“ Qis..Qis..bangun nak..Bangun sayang. ”
Qistina mula membuka matanya. Cahaya daripada lampu kalimantang di bilik itu menyilaukan matanya.Qistina cuba mengingat kembali peristiwa yang telah terjadi.
“ Papa..Papa…Mana papa , mama? Mana papa Qis.Qis nak papa!!Qis nak papa!” raung Qistina sambil air matanya deras menuruni pipinya.
“ Bawa mengucap sayang. Papa dah tak ada, Qis. Papa Qis cedera parah. Dia meninggal sewaktu dalam perjalanan ke hospital. ”
“ Tak!!Mama tipu Qis.Qis tak percaya.Mama tipu Qis!!Qis nak jumpa papa sekarang juga!! ” jerit Qistina lalu berlari ke bilik air.
Datin Rafeah hanya mampu melihat anaknya dengan linangan air mata.
“Sabarlah datin. Biarkan dia dulu. Kejap lagi redalah tu.Saya minta maaf atas apa yang telah berlaku ,” pujuk Cikgu Roziah.Dia sebenarnya turut terkejut dengan berita itu. Sedikit sebanyak Cikgu Roziah turut berasa bersalah. Namun , sudah menjadi tugasnya sebagai seorang warden untuk menelefon ibu bapa pelajar yang telah melakukan kesalahan disiplin berat.
Qistina mengunci pintu bilik air dari dalam lalu menangis semahu-mahunya. Dia enggan menerima takdir tersebut. Kerana dialah , ayahnya meninggal. Dia sudah menjadi anak derhaka. Ayahnya meninggal tatkala sedih mendengar perlakuan tidak senonoh anak tunggalnya. Qistina terkilan.
Setelah agak lama berkurung di bilik air, Qistina akhirnya keluar. Dia sedar tidak ada gunanya melawan takdir. Dia mengatur langkah dengan lemah menuju bilik warden.
“ Mama.Qis nak minta maaf banyak-banyak.Qis janji tak buat lagi. Qis dah sedar. Mama maafkan Qis ya?” ujar Qis sambil merenung kedua-dua mata mamanya yang sudah semakin pudar cahayanya.
Ibu mana yang tidak kasihkan anak? Sebesar mana pun kesalahan anaknya, si ibu pasti mudah untuk melupakan segalanya. “ Mama maafkan Qis sayang.Qis janji dengan mama ya Qis tak buat lagi? Qis belajar betul-betul lepas ni? Janji dengan mama ya sayang?”
“ Qis janji, mama. Mama,Qis nak ziarah arwah ayah buat kali terakhir. Bolehkan??”
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Qistina nekad. Dia ingin berubah sepenuhnya. Dia mula sedar kegiatan haramnya dahulu hanya memberikan kebahagiaan sementara dan balasan yang maha pedih. Bukan sahaja satu sekolah sudah heboh dengan kesalahan disiplinnya, malah ayahnya yang sangat dikasihi sudah pergi dahulu sebelum dia berjaya mengecapi kejayaan.
“Qistina janji, papa. Qis akan cuba penuhi wasiat papa. Qis takkan kecewakan papa dan mama lagi.” bisik Qis di dalam hati.
“Ya Allah, maafkanlah hambamu ini Ya Allah. Berkatilah segala usahaku. Terima kasih kerana telah mengetuk pintu hatiku ke arah kebenaran sebelum segalanya terlambat.Amin amin Ya Robbal A’lamin..” kedua-dua tangan Qis meraup mukanya. Qis berasa tenang sekali. Sedikit sebanyak dia menyesal kerana selalu mengingkari tanggungjawabnya sebagai seorang umat Islam.
Qistina sudah mula menonjolkan diri dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Suara-suara sumbang yang mengutuknya sekian lama dahulu sudah tidak kedengaran lagi. Cikgu Roziah tersenyum bangga. Tidak sia-sia tindakannya selama ini.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
“Qis..Qis..Kau okey ke tak ni?” Suara rakannya memecah lamunannya.
“Hah?! Aku okey.”
Serentak dengan itu, namanya dipanggil untuk menerima hadiah.
“Qistina binti Dato’ Sukor. Beliau merupakan antara pelajar cemerlang daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Nilam Tiga. Selain itu, beliau turut menjadi salah seorang tokoh nilam kebangsaan.”
Bunyi tepukan gemuruh memenuhi ruang udara Dewan Sekolah Menengah Sains Seri Puteri. Qistina tersenyum. Dia pasti mamanya berbangga dengan kejayaan yang diraih. Cikgu Roziah pun semestinya begitu.
Selesai sahaja majlis penganugerahan itu, Qistina terus meluru ke arah mamanya lalu mendakap erat tubuh kerdil itu. Terima kasih mama. Tanpa mama dan arwah papa , tentu Qis takkan sampai ke tahap ini. Cikgu, saya nak minta maaf dan berterima kasih kepada cikgu,” ujar Qistina sambil matanya memandang Datin Rafeah dan Cikgu Roziah silih berganti.
“Mama, Qis nak ziarah pusara papa.”
Sesampainya mereka di kawasan perkuburan Kampung Baru, Qistina, Datin Rafeah, dan Cikgu Roziah sama-sama menyedekahkan bacaan Yassin buat Datuk Sukor. Selepas itu, Qistina menyirami pusara arwah ayahnya dengan penuh rasa kasih sebagai seorang anak.
“ Papa, Qis dah tunaikan wasiat papa dan janji Qis. Semoga roh arwah papa aman di alam sana.” bisik Qis sambil berjalan beriringan bersama-sama Datin Rafeah dan Cikgu Roziah meninggalkan pusara papanya.

No comments: