Monday, December 8, 2008

Kasih Illahi



Kasih Illahi

Norain Jamaludin



Aku merenung jauh ke dusun halaman kampungku.
Cantik dan harmoni. Angin sepoi-sepoi bahasa sesekali menyapa pipiku.
Aku seronok melihat anak-anakku bersama bapanya bergurau-gurau sambil mengait dan mengutip rambutan. Inilah satu kitaran hidupan yang kunikmati sekarang. Sesekali aku terkenang zaman remajaku. Segala kepahitan hidup aku harungi bersama keluargaku. Segala pahit rintangan yang mendatang ku tempuh dengan penuh kesabaran. Dahulu, ketika aku menginjak remaja, pelbagai dugaan dan cabaran pernah kualami.
Sebagai anak sulung, aku terpaksa mengorbankan masaku untuk bekerja dan pada yang sama aku masih bergelar pelajar tingkatan 5. Masih segar dalam ingatanku betapa susahnya seorang remaja berusia 17 tahun sanggup menolong ibu bapanya menanggung keluarga seramai 6 orang. Bapaku hanya bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibuku hanya menjual kuih-muih dan nasi lemak setiap pagi. Dan aku, bekerja sambilan sebagai pemandu pelancong di salah sebuah resort percutian berdekatan dengan rumahku pada sebelah petang.
Mujurlah pengurus resort tersebut memberiku peluang bekerja dengannya setelah aku merayu-rayu kepadanya. Aku tidak malu berterus-terang kepada guruku bahawa aku bekerja pada setipa petang sedangkan pada masa yang sama aku perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaranku. Ramai juga guru menasihatiku untuk berhenti bekerja. Tidak! Aku tidak akan berhenti bekerja. Walau susah bagaimanapun, aku perlu terus berusaha menolong ibuku. Aku bersyukur walaupun aku sibuk dengan pelajaranku, namun pelajaranku tidak pernah terjejas. Aku bukanlah seorang yang kuat belajar, tetapi aku hanya mengamalkan prinsip memberi perhatian sepenuhnya ketika guru mengajar.
”Pelik! Mengapa orang ramai berkumpul di halaman rumahku?” Aku bermonolog sendirian. Aku melihat ibuku terduduk di anjung rumah dengan satu tangisan yang sukar untuk aku tafsirkan. Aku terpinga-pinga.
“Apa yang sudah terjadi?” Kemudian, pandanganku tertumpu kepada sekujur tubuh terbaring kaku di satu sudut rumah. Aku melihat adik-adikku yang lain sedang membaca Al-Quran.
“Siapa mayat itu?”
“Tidak! Itu bukan ayahku.”
“Tidak! Tidak!” Perlahan-lahan aku menghampiri tubuh yang terbujur kaku itu. Aku menyelak kain batik lepas yang menyelubungi dirinya.
”Ya Allah! Bapak!” Aku terduduk dan menangis diselangi dengan sedu-sedu kesedihan. Jika kawanku mengakhiri peperiksaan SPM dengan perasaan puas dan gembira, tetapi aku tidak. Aku akhiri peperiksaan SPM ku dengan perasaan yang amat sedih. Bapaku meninggal dunia akibat kemalangan.
”Bagaimana dengan adik-adikku?” Aku hampir berputus asa untuk menghadapi dugaan ini. Tetapi, hidup harus diteruskan. Aku tetap terus berusaha menolong ibuku mencari duit. Selepas itu, aku bekerja sepenuhnya di resort percutian tersebut. Adik-beradikku yang lain juga turut sama bekerja. Angah dan alang bekerja di pusat kraftangan. Manakala achik pula bekerja sementara sebagai mekanik dan dua orang adikku yang lain menolong ibuku menjual kuih setiap pagi ketika cuti sekolah. Hatiku berdebar-debar menunggu keputusan SPM.
Masing-masing beratur menunggu giliran. Kini, tiba giliranku. Aku bersalam dengan guruku dengan penuh debaran di dada. Cikguku itu tersenyum penuh makna. Syukur Alhamdulillah, aku Berjaya mendapat 10 A1 dan aku dianugerahkan sebagai pelajar terbaik di sekolah tersebut. Alangkah gembiranya aku pada ketika itu. Aku menyampaikan cerita gembira ini kepada ibuku. Ibuku memeluk dan menciumku dengan penuh syahdu. Lantas, aku rebah dalam pelukan ibuku dengan tangisan gembira. Seterusnya, aku diberi peluang melanjutkan pelajaran ke Australia dalam bidang pengurusan perniagaan.
Pada mulanya aku ingin menolak tawaran tersebut tetapi di tegah oleh ibuku. Ibu memujukku agar ambil peluang untuk melanjutkan pelajaran. Aku diberi tajaan sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat. Alangkah bertuahnya ibu aku ketika itu. Semasa aku menjalani persediaan selama 2 tahun, berkat usaha ibu dan adik-adikku yang lain, ibu Berjaya membina sebuah kedai makan. Dengan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada ibu tunggal, ibu memanfaatkan segala peluang yang ada. Jadi, aku tidak risau untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Aku pulang ke Malaysia selepas 3 tahun aku merantau di tempat orang. Aku berjaya membawa pulang segulung ijazah ke pangkuan ibuku.
Perniagaan ibu pula betambah maju. Rezeki melimpah ruah. Inilah kuasa Tuhan yang maha kuasa terhadap hambanya yang dikasihi. Tetapi itu kisah 10 tahun lepas. Kini, aku tidak susah seperti dulu. Ibu tidak lagi menjalankan perniagaan. Ibuku mengambil keputusan untuk berehat sahaja di rumah. Aku serta suamiku membawa ibu dan adik-adikku yang lain mengerjakan umrah. Menziarahi Mekah merupakan pengalaman yang tidak pernah kulupakan. Adik beradikku yang lain turut berjaya.
Angah kini bekerja sebagai penolong eksekutif di sebuah syarikat swasta. Alang pula sebagai pensyarah dan abang sebagai jurutera. Dua adik-adikku yang lain masih menuntut di universiti. Dan, aku pula menjalani hidup baru dengan keluarga bahagia yang kubina sendiri bersama suamiku, Fahmi. Aku bekerja sebagai akauntan di syarikat suamiku di samping menjadi ibu kepada dua orang anakku. Namia dan Fizan. Aku bertekad untuk mendidik anak-anakku supaya sanggup mengharungi dugaan hidup dengan tabah. Akanku bentuk anak-anakku agar menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti.









No comments: