Monday, December 8, 2008

HUMAIRAH



HUMAIRAH
Amirah Azhar


Humairah bangun awal hari itu. Jarang sekali dia bangun seawal itu. Masakan tidak, hari ini dia bakal menjejakkan kaki ke sekolah baru. Setelah bersiap dan berpuas hati dengan penampilannya di cermin, dia bergegas turun ke bawah.

“ Selamat pagi, mama. Selamat pagi, abah,”
“ Selamat pagi, sayang. Awal bangun hari ini? Amboi, bersemangat nak ke sekolah nampak? Kalau tak, mama nak kejut punyalah payah,”

“ Baguslah anak abah ni bersemangat. Buatnya dia tak nak pergi sekolah, lagi parah.”
“ Betul cakap abah tu, mama. Mama, mama masak apa harini? Bau macam best je?”
“ Ala..mama masak biasa je, nasi goreng cina kegemaran anak mama ni la.”
“Wah, macam ni la baru Ira sayang mama…hehe..” Humairah memang begitu. Tidak sah kalau tidak dapat mengusik mamanya. Encik Hamid hanya menggeleng kepala melihat perlakuan dua beranak itu. Namun, di dalam hatinya dia bersyukur kerana kehadiran Humairah telah membawa sinar kegembiraan kepada keluarga itu.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“Baiklah murid-murid, sekarang saya hendak memperkenalkan pelajar baru dari Kuala Lumpur. Mulai hari ini, dia akan menjadi sebahagian daripada murid kelas ini dan saya hendak kamu layan dia dengan baik, faham murid-murid?” tanya Cikgu Iman.
“Faham cikgu!!” balas murid-murid tingkatan 3 Mujahid.
“Baiklah, sekarang saya hendak kamu memperkenalkan diri kamu kepada rakan-rakan sekelas,” ujar Cikgu yang tinggi lampai dan berkulit hitam manis itu.
“ Ehemm..” Humairah berdehem kecil..Dia rasa seperti ada sesuatu tersekat di kerongkongnya.
“Relax Ira. Benda kecil je,” bisik suara hatinya. Humairah menarik nafas dalam sebelum membuka mulutnya.
“Sa..saya Humairah binti Hamid. Kamu semua boleh panggil saya Ira. Saya dibesarkan di Kuala Lumpur dan bersekolah di sana. Ayah saya diminta untuk berkhidmat di Pahang. Jadi, kami sekeluarga perlu berhijrah ke sini. Saya masih baru di sini. Harapnya kamu semua boleh beri tunjuk ajar. Terima kasih,” ujar Humairah panjang lebar.
‘Fuh, lega…’bisik Humairah.“ Baiklah Humairah, kamu akan duduk di sebelah Maisarah memandangkan tempat di sebelahnya masih kosong.”
“Terima kasih, cikgu” balas Humairah penuh sopan. Sememangnya dia telah diajar untuk menghormati guru kerana gurulah orang yang mencurahkan ilmu kepadanya dan tentu sekali telah banyak menabur bakti kepada anak bangsa. Hatta para cendekiawan Islam sendiri sangat menghormati guru mereka. Teringat Humairah dengan kisah yang diceritakan oleh ustazahnya dahulu bahawa Imam Shafie sanggup menjinjing kasutnya ketika gurunya sedang mengajar agar gurunya tidak terganggu dengan derap langkahnya.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Di sekolah, Humairah bersahabat baik dengan Maisarah. Mereka bagaikan belangkas. Pergi ke mana sahaja pasti bersama. Mungkin kerana persamaan yang wujud pada diri mereka. Sekali imbas, rupa mereka hampir serupa. Yang membezakan mereka ialah kulit Maisarah lebih gelap manakala terdapat tahi lalat di bawah bibir Humairah. Perangai mereka juga hampir sama, kedua-duanya sama rajin dan tinggi budi pekerti. Mereka gemar membantu guru mengangkat buku dan peralatan mengajar daripada kereta ke bilik guru. Oleh itu, mereka amat disenangi oleh warga Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mulia. Suatu hari, Maisarah kelihatan murung. Dia tidak banyak bercakap. Hatta semasa belajar pun dia bagaikan berada di tempat lain. Sering termenung dan kerap kali ditegur oleh guru hampir setiap mata pelajaran.

“Minta maaf cikgu.” Itu sahaja yang mampu terlahir dari bibir Maisarah. Rakan-rakan sekelasnya turut runsing dan bimbang memikirkan rakan mereka. Pelajar sekolah itu telah dididik agar menganggap rakan sekelas seperti keluarga sendiri. Mereka mula mengesan kelainan pada Maisarah apabila dia langsung tidak mengangkat tangan untuk mengutarakan soalan. Selalunya, suara Maisarah dan Humairahlah yang menceriakan suasana belajar dengan keletah mereka berdua. Humairah bertambah bimbang apabila Maisarah hanya membatukan diri.

“ Mai, kenapa ni? Kau tak sihat ke? Demam ye?” ujar Humairah sambil tangannya menyentuh dahi Maisarah.
‘Tak panas pun. Habis, kenapa pula dia macam ni? Selalunya okey je. Ish, risau pula aku,’ kata Humairah dalam hati.
“ Mai, kau cakaplah dengan aku. Tak baik tau kau buat aku macam ni. Aku ni kan kawan kau. Aku bukan setakat kawan yang boleh dibawa ketawa je tau, aku pun nak juga jadi kawan yang turut merasa kesedihan kawannya. Kau dah banyak tolong aku masa aku mula-mula masuk sini. Masa dia orang ejek aku budak bandar, siapa yang tolong aku? Kau juga kan? Aku janji aku akan cuba tolong kau, okey?” pujuk Humairah lembut.

Dia tahu rakannya itu mempunyai masalah yang maha berat tetapi tetap mahu berdiri sendiri.Dalam diam, dia kagum dengan sikap Maisarah. Maisarah sebak. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan rakan sebaik Humairah. Dia masih ragu-ragu, perlukah dia menceritakan hal yang sebenarnya? Dia tau Humairah anak orang berada tetapi dia tidak mahu mengambil kesempatan atas rakannya. Rakan itu terlalu baik dan telah banyak menolongnya. Memang benar dia ada melindungi Humairah apabila dia dicemuh sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah ini, tapi apalah jasanya jika hendak dibandingkan dengan Humairah yang telah banyak menolongnya dalam pelajaran dan sering membelanjanya sewaktu dia mengikat perut kerana ingin berjimat cermat.

Akhirnya, Maisarah mengambil keputusan untuk membuka rahsianya apabila melihat Humairah yang tidak berputus asa memujuknya.

“I..Ibu a..aku sakit…Dulu sakitnya boleh dikawal lagi, ibu hanya makan ubat yang dibuat sendiri dengan ulam-ulam yang Mai cari dekat hutan. Tapi baru-baru ni, dia selalu batuk. Kadang-kadang teruk sangat. Semalam, dia batuk lagi tapi kali ini ada darah.Aku…aku takut sangat. Aku nak kirimkan surat pada abang aku yang tengah belajar di UIA tapi ibu aku halang. Dia tak nak abang risau. Aku…aku takut, Ira.Aku takut…” jelas Maisarah dengan panjang lebar sambil air matanya tidak henti-henti menuruni pipinya.
“ Mai, kau sabarlah banyak-banyak ye? Nanti, waktu balik sekolah kau bawa aku jumpa ibu kau, boleh? Aku nak jumpa dia,” kata Humairah. Maisarah hanya mengangguk kelesuan.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“ Ibu, Mai bawa kawan, ibu. Dia kawan sekelas Mai,”ujar Maisarah sambil menyalami tangan ibunya.
“ Iya? Bawalah dia masuk ke mari,” kata ibunya sambil terbatuk kecil.

Humairah meneliti sekeliling rumah itu. Tidak ada apa-apa yang istimewa. Hanya perabot usang dan tikar mengkuang yang sudah uzur menghiasi rumah kecil itu. Walaupun begitu, keaadannya kemas dan bersih.Humairah ternampak ada cahaya-cahaya halus di lantai. Dia mendongak ke atas. Dilihatnya terdapat lubang-lubang kecil di zink itu. Humairah berasa serba salah. Dia tidak pernah tahu bahawa Maisarah hidup dalam kedaifan. Maisarah tidak pernah membuka mulut. Humairah sendiri pun tidak pernah terfikir untuk bertanya dengan lebih lanjut setelah Maisarah enggan bercerita panjang tentang keluarganya. Patutlah rakannya itu selalu mengelak apabila dia ingin mengadakan study group di rumah Miasarah. Alasannya, di sekolah lebih selesa kerana wujud persekitaran belajar.

“Ira, jemputlah masuk.” Humairah tersentak apabila namanya dipanggil.
“Hah? O..okey.” balas Humairah sambil menghayunkan langkahnya menuju ke bilik ibu Maisarah.
“Assalamualaikum mak cik. Saya Humairah.” Humairah memperkenalkan diri sambil menyalami tangan yang sudah uzur itu. Puan Balqis sedikit tersentak apabila mendengar nama itu. Ditelitinya segenap wajah Humairah yang ayu itu dan diusapnya lembut. Naluri keibuannya membenarkan firasatnya. Dia bersyukur ke hadrat Ilahi. Tanpa disedari, air matanya jatuh ke pipi.Humairah berasa hairan. Maisarah juga turut merasakan yang sama.

“Mak cik, kenapa mak cik menangis? Mak cik tak suka ke saya datang ke sini?” Humairah bertambah serba salah apabila melihat ibu Maisarah menangis.
“Ish, tak adalah. Ni ha, habuk masuk mata mak cik,” bohong Puan Hayati. Masakan dia akan memberitahu perkara yang sebenarnya. Tiba-tiba Humairah teringat akan janjinya dengan mamanya. Dia melihat jam di tangan. Dia sudah terlambat lima minit. Pasti mamanya akan marah.
“Mai, aku kena pergi dululah. Aku terlupa aku dah janji dengan mama aku nak temankan dia pergi beli barang harini. Mak cik, saya pergi dulu ya. Nanti kalau ada masa insyaAllah saya jenguk makcik lagi,” kata Maisarah lalu segera bergegas untuk pulang.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“Mama, Ira minta maaf. Tadi Ira pergi rumah kawan Ira. Mak dia sakit. Jadi, Ira terlupa Ira dah janji dengan mama. Mama maafkan Ira okey? Ira janji tak buat lagi,” pujuk Ira manja. Puan Ros tidak jadi untuk memarahi anaknya. Anaknya yang satu itu memang pandai memujuk, sama seperti suaminya. Bapak borek, anak rintik.

“Mama maafkan. Kita pergi esok jelah. Dah lambat dah ni. Lain kali jangan lambat lagi, okey? Ira, kenapa dengan ibu kawan Ira tu? Ira kata dia sakit.Sakit apa? Teruk ke?” tanya Puan Ros.
“ A’ah, mama. Kawan Ira tu nampak runsing sangat. Ira suruh dia cerita kat Ira. Dia cakap ibu dia sakit. Selalu batuk-batuk sampai keluar darah. Ira tak tau sakit apa. Dia orang miskin, mama. Tak ada duit nak ke klinik. Ira ingat Ira nak tolong dia. Kawan Ira tu dah banyak tolong Ira kat sekolah. Bolehkan, mama?” jelas Humairah..
“ Hurm, nanti mama tanya abah ye sayang? Kalau abah bagi malam ni juga kita bawa ibu kawan Ira tu ke klinik.” Puan Ros memberi kepastian. Humairah tersenyum mendengar jawapan mamanya. Dia tahu, mamanya jarang sekali mengampakan permintaannya.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“ Nasib baik kamu cepat membawanya ke klinik. Kalau dibiarkan melarat, penyakit ini boleh bertambah kronik dan peluang untuknya hidup amat tipis,” jelas Doktor Akmal.
“ Apa penyakitnya doktor? Boleh kami tahu?” tanya Puan Ros.
“ Saya minta maaf. Pesakit meminta saya untuk merahsiakannya,” jelas Doktor Akmal lagi. “ Doktor, boleh saya lawat ibu saya?” tanya Maisarah pula.
“Silakan. Tetapi jangan terlalu lama. Dia memerlukan rehat yang secukupnya.” nasihat doktor itu.
“ Ibu, ibu okey ke?” tanya Maisarah. Puan Balqis hanya mengangguk. Diciumnya dahi anaknya itu. Puan Balqis memandang pula kepada Puan Ros, Encik Hamid dan akhir sekali Humairah, wajah yang sangat dirinduinya buat sekian lama.
“Tuan, puan, saya minta maaf sangat-sangat kerana menyusahkan tuan sekeluarga. Saya juga nak berterima kasih kerana sanggup menghantar saya ke klinik dan membiayai kos rawatan saya. InsyaAllah, saya akan cuba membayarnya kembali.” beritahu Puan Balqis.
“ Ish, tak perlulah bertuan dan berpuan dengan kami. Saya Hamid, dan isteri saya, Ros. Lagipun memang sudah tanggungjawab kami untuk membantu orang yang memerlukan. Tidak perlulah Puan Balqis bayar semula. Anggaplah itu hanya pertolongan dari Tuhan.” jawab Encik Hamid merendah diri.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“ Mai, macam mana dengan ibu kau? Dia dah okey ke?” tanya Humairah ingin tahu.
“ Alhamdulillah, dia dah hampir pulih sekarang. Ira, aku ucap terima kasih banyak-banyak kat kau dan ibu bapa kau. Aku tak tau macam mana nak balas jasa kau orang,” jawab Maisarah.

“ Ala, kan aku dah janji nak tolong kau. Lagipun apa gunanya kawan, betul tak?” balas Humairah sambil bibirnya mengukir senyuman menawan. Maisarah terus memeluk rakannya itu.
“ Kaulah sahabat aku dunia akhirat, Ira.” Humairah hanya mengangguk sambil membalas pelukan rakannya itu. Erat.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“Perlukah aku membongkarkan segala-galanya? Setelah bertahun-tahun lamanya rahsia itu tersimpan rapi dalam memori hidupku?Tapi ia hak aku! Aku yang bertarung nyawa melahirkannya. Sudah lama aku mengimpikan saat ini. Saban hari aku berdoa agar dipertemukan dengannya dan Allah telah mengkabulkan doaku. Aku bersyukur padaMu ya Allah. Ya, aku perlu berterus terang secepat mungkin, sebelum dia hilang dariku buat selama-lamanya.

"Ya Allah, berilah kekuatan buat hambaMu ini,” bisik hati Puan Balqis.
“Mai, bila kawan Mai tu nak datang ke sini lagi?” tanya Puan Balqis sebelum Maisarah ke sekolah.
“ Entahlah ibu, tapi dia ada cakap dengan Mai dia nak lawat ibu. Nanti Mai cuba tanya dia, kalau dia tak keberatan, rasanya harini dia boleh datang jenguk ibu. Lagipun, harini kita orang tak ada kelas petang. Okeylah, Mai minta diri dulu ya, ibu?” jawab Maisarah sambil menyalami tangan ibunya.Di sekolah, Maisarah bertanya kepada Humairah, “Ira, kau jadi tak nak datang rumah aku harini?”
“Em, boleh juga. Lagipun, mama aku pun balik kerja petang. Jadi, aku rasa tak ada masalah la.”Jawapan Humairah itu membuatkan Maisarah tersenyum. Ibunya di rumah pasti gembira melihat kedatangan kawannya nanti.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“ Mama, Ira nak tanya sesuatu, boleh?” tanya Ira. Puan Ros menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya. Mata anaknya yang sembap itu memberitahu bahawa anak kesayangan itu sedang menanggung kesedihan. Sebagai ibu, dia tidak sampai hati untuk melihat walau sepalit kedukaan di wajah Humairah.

“ Boleh, Ira. Tanyalah mama apa-apa je. Sejak bila Ira nak kena minta kebenaran mama untuk bertanya? Bukan kena bayar pun,” usik Puan Ros untuk menceriakan Humairah. Namun begitu, tiada segaris senyuman pun yang dipamerkan Humairah.
“Mama, betul ke Ira hanya anak angkat Mama? Betul ke mama bukan ibu kandung Ira, yang bukan melahirkan Ira?” Pertanyaan Humairah itu bagaikan sembilu yang menusuk hati Puan Ros. Daripada mana anaknya itu mendapat berita itu. Dia pasti Humairah tidak akan berfikir sedalam itu. Dia masih tidak bersedia untuk jawapan itu. Tapi, perlukah dia berselindung lagi tatkala anak yang berada di hadapannya kini mendambakan pengertian dan kejujuran? Puan Ros bagaikan kelu untuk berkata-kata.
“ Da..daripada mana Humairah dengar ni? Mama tak pernah cakap pun.” Puan Ros gugup. Dia masih enggan menjelaskan segala-galanya.
“ Tapi ini apa, mama? Ira dapat ni daripada Puan Balqis sendiri. Dia dah simpan kertas ni selama lima belas tahun,” kata Humairah sambil mengunjukkan kertas yang sudah agak lusuh itu.Puan Ros terpana saat dia merenung surat beranak Humairah di tangannya. Selama ini rahsia itu tersimpan rapi kerana kebetulan nama ayah kandung Humairah dan Encik Hamid sama.Benar, bukan dia yang melahirkan Humairah. Namun, dia tidak tahu bahawa Puan Balqis yang merupakan ibu kandung anaknya. Dia bercadang untuk mengambil Humairah sewaktu pertama kali bertentang mata dengan sepasang mata kecil milik Humairah di rumah anak yatim kepunyaan Puan Nazlah.

Aduhai, bagaimana dia hendak menjelaskan segala-galanya. Dia sedar, bangkai gajah walau ditutup dengan selimut pun , akan ternampak jua.
“Kenapa ni?” tanya Encik Hamid ketika melangkah masuk ke ruang tamu banglo dua tingkat itu. Puan Ros meluru ke arahnya lalu membisikkan sesuatu dan menyerahkan sijil surat beranak Humairah ke tangan Encik Hamid.
“Sudah tiba masanya,” bisik suara hati Encik Hamid. Sambil menggenggam tangan isterinya, Encik Hamid menghayunkan langkah ke arah, Humairah.

“ Humairah, dengar sini apa yang abah nak cakap,” Encik Hamid mula bersuara. Humairah hanya menghadapkan muka ke arah abahnya.Namun, dia tidak sanggup untuk bertentang mata.
“ Ira, bukan niat kami hendak menipu kamu.Cuma, belum sampai masanya. Abah sendiri tak sangka Humairah tahu sendiri sebelum kami sendiri membuka mulut. Kami mengambil Ira daripada rumah anak yatim sewaktu Ira baru berusia sebulan lima hari. Humairah memang anak angkat kami tapi kami tidak tahu bahawa Puan Blaqis yang menjadi ibu kandung Ira. Walau macammanapun, kami sayang Ira. Sejak dari kecil lagi kami bela Ira bagai kami menatang minyak yang penuh. Ira tahukan semua tu? Kami beri didikan yang sempurna dan didikan agama yang secukupnya.” Melihat Humairah masih membisu, Encik Hamid menyambung lagi,

“ Abah dan mama tetap sayang Ira macam anak kami, sekarang terpulanglah pada Ira untuk buat keputusan.Ira dah besarkan? Dah boleh fakir yang mana baik dan yang mana buruk. Apapun, kami tetap menyokong segala keputusan Ira.”
“Mama, abah, Ira nak minta maaf ….kalau Ira ada sakitkan hati mama dan abah.” Ira mula bersuara.Langkah Encik Hamid dan Puan Ros terus kaku. Humairah tanpa segan silu meluru ke arah kedua-dua ibu-bapanya lalu memeluk mereka.
“Ira tak marah pun kat mama dan abah. Cuma Ira terkejut dengar berita tu.” Encik Hamid dan Puan Ros hanya tersenyum mendengar penjelasan anak mereka. Mereka tahu bahawa anaknya itu cukup matang dan bijak dalam membuat keputusan serta berhati lembut. Dalam diam, mereka bersyukur kerana dikurniakan anak yang solehah.

“ Tapikan mama, abah, Ira dah buat salah dengan ibu Ira. Masa ibu Ira beritahu semua tu, Ira macam tak percaya dan teruskan tinggalkan dia dan Mai macam tu je. Ira rasa bersalah sangat-sangat. Mesti dia orang ingat Ira benci dia orang,” jelas Humairah lagi setelah meleraikan pelukan.
“ Kalau macam tu, lepas solat Maghrib berjemaah nanti kita pergi sana, okey?”jawab Puan Ros. Dia tidak mahu memisahkan anak beranak. Seharusnya, dia perlu bersyukur kerana Allah telah meminjamkan anak yang baik kepadanya. Keputusan Humairah yang masih mahu memanggilnya mama walaupun telah mengetahui perkara sebenar sudah cukup besar erti buatnya.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“ Assalamualaikum.” Humairah, Encik Hamid dan Puan Ros serentak memberikan salam.
“ Waalaikumsalam,” jawab satu suara garau.
“Siapa tu bang?” tanya Maisarah sambil menjengukkan kepalanya ke luar.
“ Ira!” Maisarah terjerit kecil.Dia terus meluru keluar untuk memeluk Humairah. Mereka berpelukan untuk seketika. Maisarah sukar untuk percaya bahawa Humairah sanggup datang ke rumahnya padahal reaksi Humairah siang tadi seperti tidak akan menjejakkan kaki ke sini lagi walaupun dia sendiri terkejut mendengar pengakuan ibunya. Alhamdulillah, Tuhan telah mengkabulkan doanya.

“ Eh, pakcik, makcik jemputlah masuk. Yang ini abang saya. Dia baru balik dari UIA, cuti semester katanya. Jemputlah duduk dulu. Nanti saya hidangkan air,” pelawa Maisarah.
“Mai, siapa yang datang tu, nak?” tanya Puan Balqis sambil pergi ke ruang tamu. Sebelum sempat Maisarah menjawab, Humairah sudah terlebih dahulu mencium tangannya dan memeluknya sambil membisikkan kat maaf . Anak beranak itu berpelukan sambil menangis. Suasana yang memilukan itu turut meninggalkan kesayuan di hati Encik Hamid, Puan Ros, Amir dan juga Maisarah.

Bayi yang baru berusia sebulan itu ditatap penuh syahdu… Tidak sanggup rasanya untuk berpisah walaupun seminit.Namun apakan daya, kehidupan yang semakin menghimpit melarang Puan Balqis untuk berbuat demikian. Diserahkan juga anaknya itu kepada Puan Nazlah, pengurus kepada rumah anak yatim itu. Diciumnya anak itu buat kali terakhir yang sedang lena di pangkuan Puan Nazlah.

“ Puan, tolonglah jaga anak saya dengan sebaik mungkin. Jikalau saya mampu, saya takkan serahkan anak saya ini..” pesan Puan Balqis dengan penuh sebak.
“ Bawa bertenang Puan Balqis. InsyaAllah saya akan menjaga anak ini seperti anak saya sendiri,” ujar Puan Nazlah sambil tersenyum.
“ Terima kasih. Oh ya. Kalau ada keluarga yang hendak mengambil anak saya sebagai anak angkat, tolong pastikan dia akan menjaga anak saya seperti nyawa mereka,”tambah Puan Balqis lagi sambil mengelap air matanya dengan hujung lengan baju kurung yang sudah tampak lusuh itu. Puan Nazlah hanya mengangguk.
“ Saya minta diri dulu, puan. Mari Amir, kita pulang nak.” kata Puan Balqis sambil memimpin tangan anak lelakinya yang baru berumur lima tahun sambil tangan kirinya mengendong seorang lagi anak perempuannya.

“ Ibu minta maaf nak kerana menghantar kamu ke rumah anak yatim. Ibu bukan sengaja. Ibu tak dapat jaga kamu bertiga. Ayah kamu dah meninggal seminggu selepas ibu melahirkan kamu dan Maisarah kerana kemalangan. Ibu tak tahu nak buat apa. Berkat menunaikan solat istikharah, ibu bermimpi bahawa ibu perlu melepaskan salah seorang anak ibu kalau ibu nak semuanya membesar dengan selamat. Jadi, ibu mengambil keputusan untuk meninggalkan kamu walaupun ibu tidak ingin berpisah denganmu, nak. Setiap kali lepas solat, ibu pasti mendoakan kebahagiaan kamu dan berdoa agar dipertemukan denganmu. Alhamdulillah, sekarang Allah perkenankan doa ibu,” terang Puan Balqis panjang lebar.

“ Ira faham kenapa ibu buat macam tu. Sebab tulah Ira datang semula ke sini. Ira rasa bersalah sangat-sangat sebab tinggal ibu macam tu je siang tadi. Ibu maafkan Ira,ya bu?” pinta Humairah lagi dalam esak tangisnya.
“ Ibu maafkan, Ira. Cukuplah Ira terima ibu kembali dalam hidup Ira. Itupun ibu berterima kasih sangat-sangat.” “Oh ye Ira, ni abang Ira. Amir namanya dan yang Ira selalu bersama-sama ni adik Ira, Maisarah pasal Ira lahir dulu,” kata Puan Balqis lagi sambil tersenyum.

Humairah menyalami tangan Amir dan memeluk Maisarah buat kesekian kalinya. Patutlah dia dapat merasakan seperti ada satu aura antara mereka berdua. Rupanya mereka berkongsi rahim yang sama. Selepas minum, Humairah meminta keluarga kandungnya, tinggal bersama-sama di banglo mereka setelah mendapat persetujuan daripada mama dan abahnya. Namun, Puan Blaqis menolak kerana terlalu banyak kenangan di rumah itu katanya. Walau bagaimanapun, Humairah tetap memujuk ibunya untuk tinggal bersama-sama buat sementara waktu apabila Encik Hamid bercadang untuk membaiki dan mengubahsuai rumah itu agar menjadi lebih selesa. Akhirnya, Puan Balqis terpaksa bersetuju. Humairah berasa sangat gembira. Dia memeluk kedua-dua ibu dan mamanya erat sambil hatinya memanjat kesyukuran yang tidak terkira ke hadrat Ilahi kerana telah mengurniakan dua orang ibu yang sangat baik dan mengasihi dirinya yang kerdil ini.

No comments: